Maulid Nabi: Cinta Adalah Tanggungjawab.

0 comments
Mutakhir ini ramai di kalangan umat Islam yang membicarakan mengenai cinta Nabi. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk menunjukkan tanda cinta kepada Baginda S.A.W. Namun, terkadang kita lupa yang mana sifat kecintaan yang wujud di dalam diri itu perlu diterjemahkan melalui tanggungjawab secara zahiriah.

Sepertimana yang telah digariskan dalam Al-Quran berkenaan kriteria golongan yang layak bersama Nabi Muhammad S.A.W, firman Allah SWT :

وكَاَيِّن مِّن نَّبِىٍّ قٰتَلَ مَعَه رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَاۤ اَصَابَهُم فِى سَبِيلِ اللّٰهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا استَكَانُوا وَاللّٰهُ يُحِبُّ الصّٰبِرِينَ

"Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar” (Ali Imran : 146)


Sensitif Dengan Maruah Islam.                                                                               
Inilah kriteria pertama yang telah digazetkan di dalam Al-Quran. Kerana itu para sahabat tidak membiarkan Nabi S.A.W keluar berjihad seorang diri sedangkan mereka hanya sebagai pemerhati. Cinta mereka dizahirkan bersama tanggungjawab berjihad menegakkan agama Allah samaada berjuang dengan mata pedang ataupun sebaliknya.
Sepertimana ikrar para sahabat ketika peperangan Badar, “Pergilah Engkau S.A.W bersama TuhanMu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganMu turun berjuang."
Mesti Dalam Golongan Yang Bertaqwa.
Mereka yang mengaku sebagai pencinta Nabi mestilah dalam golongan orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih mempertahankan agama yang dibawa oleh Nabi S.A.W. Berkata Dr. Yusof Al-Qardhawi “ Tegakkan Islam di dalam dirimu nescaya ia akan tertegak di atas tanah airmu.”

Gagah Perkasa, Kalis Tekanan.
Jatidiri seorang pecinta mestilah gagah dan kalis terhadap tekanan yang mendatang. Sekiranya mereka meletakkan diri mereka untuk berjihad, mereka bersedia menghadapi segala risiko dalam menghadapi kejahilan manusia. Dua remaja Ansar yang berusia belasan tahun, Muaz dan Auf bin Afra telah menawarkan diri untuk menyertai peperangan Badar. Lahir dari kecintaan kepada Nabi S.A.W., mereka telah berazam ingin membunuh Abu Jahal kerana Abu Jahal telah banyak mencaci kekasih mereka itu. Inilah sifat yang ditanamkan dalam diri para sahabat.
Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi S.A.W tidak sudi mengaku sebagai ummatNya (maksudnya), “Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka.” (HR Tabarani)

Misi Mati Syahid.
Bahkan sebagai golongan yang mengaku cinta akan Nabi S.A.W perlu memiliki misi untuk mati syahid. Kerana untuk mendapatkan tiket ke syurga perlulah melalui jalan perjuangan dengan bersungguh-sungguh dalam erti kata lain, berjihad. Allah telah berfirman dalam ayat sebelumnya yang bermaksud :
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?. “Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran : 142-143)

Manifestasi cinta Saidina Bilal bin Rabah menjadi teladan buat pecinta-pencinta Nabi S.A.W. Selaku juru azan di Madinah, selepas kewafatan Nabi S.A.W beliau tidak mampu menuturkan kalimah menyebut nama kekasih hati dek kerana suara yang tersekat dan menangis terlalu merindui Baginda S.A.W. Demi mengubati rindu yang amat menebal kepada Baginda, Bilal meminta izin Saidina Abu Bakar untuk keluar dari Madinah bagi menggabungkan diri dalam misi jihad membebaskan Baitul Maqdis pada ketika itu.

Realiti Kini.
Sambutan memperingati Maulidur Rasul haruslah diterjemahkan juga dalam bentuk tanggungjawab sebagaimana lisan menuturkannya. Daripada sudut akhlak, muamalat, ekonomi, sehinggalah cara mentadbir sebuah negara membentuk sebuah daulah Islamiah perlulah merujuk kepada apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi S.A.W iaitu Al-Quran dan Al-Hadith.

Syurga tidak diperolehi dengan semata-mata memuja, memuji dan merintih atas kewafatan Nabi S.A.W. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dengan perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat. Pecinta hanya layak dinobatkan kepada umatnya yang menyambung mata rantai perjuangan Baginda S.A.W. dengan semangat jihad tanpa ragu-ragu dan tidak terpesona dengan permainan musuh Islam. Kesemua kerja jihad ini memerlukan kekuatan fizikal menongkah arus kejahilan manusia yang harus dipasak di dalam diri sebati dengan keinginan hati yang mengaku mencintai Nabi.
Sepertimana kata-kata hukamak : همة الرجال قطة الجبال
“Wibawa seorang lelaki boleh meruntuhkan sebesar manapun benteng sekalipun ia berupa gunung di hadapan kita.”
Read More..

Indahnya Solat Jemaah

0 comments
          Rasulullah SAW telah bersabda : " Solat berjemaah itu lebih baik daripada mendirikan solat secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh (27 )  darjat  iaitu ganjaran. 
( Riwayat Bukhari & Muslim ) 
            Berdasarkan hadis yang tertera seperti di atas , Rasulullah SAW sangat menekankan solat secara berjemaah berbanding solat secara bersendirian . Sesungguhnya, solat berjemaah mampu mengubat perpecahan antara umat Islam. Oleh yang demikian, dalam sabda Rasulullah SAW, Daripada Abu Mas’ud, katanya: “Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang menyebabkan hatimu berpecah-belah”, hadis Riwayat Muslim .

         
         Seorang Professor Fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi 2 cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beribadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
             Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. 
             Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam badan kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

              Kisah ini dinaqalkan oleh ustaz Nazrul Nasir mahasiswa Usuluddin  Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir untuk dikongsikan buat sahabat-sahabat sebagai pengajaran dan tauladan buat kita semua .

            Suatu hari di masjid al-Azhar, Syeikh Ali Jum’ah sedang menyampaikan pengajian kita. Ketika itu para hadirin sedang khusyuk mendengar syarahan dan penjelasan yang disampaikan oleh syeikh waktu itu walaupun dalam suasana yang agak sejuk. Tiba-tiba tanpa semena-mena kipas yang berada berdekatan dengan syeikh berpusing dengan lajunya. Dengan serta-merta syeikh memberhentikan syarahannya. Pada ketika itu para hadirin dan syeikh mencari-cari siapakah orang yang telah membuka kipas tersebut. Kerana mereka sedia maklum tidak sepatutnya kipas itu dibuka pada waktu musim sejuk. Tidak lama kemudian syeikh pun menegur dan memarahi orang yang membuka kipas itu kerana telah menyebabkan syeikh bertambah sejuk dan menyuruh untuk ditutup semula kipas tersebut.

          Tanpa disedari ,tiba-tiba datang seorang pak cik tua dari satu sudut dalam masjid tersebut, pak cik tersebut datang kepada syeikh dan meminta maaf padanya kerana dialah yang telah membuka kipas tersebut. Namun apa yang mengejutkan para hadirin ketika itu, syeikh Ali Jum’ahtelah berubah reaksinya dan lebih mengejutkan para hadirin beliau pula yang meminta maaf kepada pak cik tersebut, katanya beliau tidak layak untuk menegur pak cik tersebut apatah lagi ingin memarahinya kerana membuka kipas tersebut.

         Sahabat-sahabat, agaknya apa yang menyebabkan syeikh berkata sedemikian.? Selepas dari itu, Syeikh Ali Jum’ah bercerita kepada para hadirin atas sebab apa beliau merasa tidak layak untuk menegur pak cik itu tadi. Beliau berkata pak cik itu ibadahnya jauh lebih baik berbanding beliau. Pak cik itu seorang pekerja di masjid al-Azhar  itu sejak sekian lama, boleh dikatakan sejak  berpuluh tahun lamanya, dan orang-orang di sekitar berkata setakat yang terzahir pada penglihatan mereka pak cik tersebut tidak pernah meninggalkan solat subuh secara berjemaah di masjid itu, apatah lagi lewat dan lebih teruk lagi meninggalkan terus solat subuh. SUBHANALLAH, para hadirin ketika itu terharu mendengar kisah yang diceritakan oleh syeikh ketika itu. Dua perkara yang menyebabkan mereka terharu, yang pertama tawadhuknya seorang ulama’ dan yang kedua hebatnya seorang pak cik tua yang sangat menjaga ibadahnya kepada Allah SWT,  dan sehingga kini pak cik itu masih ada dan masih  bekerja di masjid al-Azhar. Sangat baik dan peramah orangnya, beliau akan menyapa dan memberi salam kepada orang-orang yang ditemuinya, kami panggil pak cik ini dengan panggilan ‘ammu Ahmad.

            Melalui cerita yang telah disampaikan , dapatlah disimpulkan bahawa islam itu indah . Amalan  seseorang itu bukan dinilai dari sudut rupa paras tetapi dinilai dari ketaqwaan dan keimanan yang sebenar kepada Allah SWT .Setiap kebaikan yang kita lakukan dengan sebenar-benar keimanan akan dibalas  dengan ganjaran yang sangat besar tanpa berkurang sedikit pun  kerana Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang .

            Kesimpulannya , marilah kita sama- sama  mewujudkan semula  amalan istiqamah yang dilakukan oleh nabi kita , Nabi Muhammad SAW  iaitu solat jemaah . Ingatlah, baginda Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya walaupun Baginda berada dalam keadaan  sakit. Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa pahala orang yang menunaikan solat subuh secara berjemaah itu ibarat beribadat sepanjang malam. Banyak ganjaran yang Allah sediakan kepada hamba-hambanya, tetapi bergantung kepada diri kita sahaja samada ingin mengambilnya ataupun tidak.
Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger